Al-Balad

Assalamualaikum, dan salam perantauan daripada saya.

 

Sudah lama jari ini tidak menari-nari di atas papan kekunci, hari ini terdetik di hati saya untuk mencoretkan sedikit perkongsian yang boleh menjadi buah fikiran para pembaca, insyaAllah.

 

Saya ingin berkongsi tentang sebuah firman daripada Allah SWT, yakni surah Al-Balad, surah ke-90. Balad dari segi bahasa bermaksud “negeri”.

Secara ringkasnya, surah ini merupakan surah yang menceritakan kepada kita akan hakikat hidup sebagai seorang manusia. “Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia berada dalam susah payah” (90:4)

Normalnya, memang manusia kena bersusah payah, tidak kiralah dalam usaha untuk menjadi lebih baik ataupun sebaliknya. Hendak berbuat jahat seperti merompak bank, membunuh dan sebagainya pun susah, apatah lagi hendak berbuat kearah kebaikan. Namun sebegitu, susah payah yang kita lakukan kearah kebaikan, pasti hasilnya membawa keuntungan kepada kita.

 

Allah SWT memberi kita dua jalan seperti firmannya dalam ayat (90:10) yakni jalan kebajikan ataupun kejahatan. Terpulang kepada kita hendak memilih jalan yang mana. Namun, sedar ataupun tidak, Allah SWT telah mengurniakan nikmat yang banyak kepada kita. Disebut dalam ayat (90:8-9), yang mana Allah SWT memberikan kita mata, lidah, bibir, yakni pancaindera untuk kita meneruskan kehidupan.

 

Bayangkan, sekiranya nikmat tersebut ditarik oleh Allah, maka bertapa susahlah hidup kita. Oleh itu, bersyukurlah dengan kurniaan Allah kepada kita. Walaupun kita selalu leka, tapi Allah tidak pernah sesaat pun lupakan kita.

 

Teruskanlah bersusah payah di jalan Allah SWT, kerana susah-susah kita di dunia itu, akan membawa kesenangan dalam hidup kita di akhirat.  Nak ke kita susah-susah di dunia yang sementara ini lalu ditambah lagi dengan kesusahan di akhirat yang selamanya?

 

Mari kita imbau kembali sirah seorang sahabat, Abu Bakar. Dia merupakan seorang peniaga yang kaya dan disegani pada zaman itu. Orang ramai sentiasa akan merujuk Abu Bakar, baik dalam urusan jual beli, mahupun masalah-masalah peribadi. Namun, dia menjadi seorang yang bankrupt pada hari pertama dia masuk Islam. Kerana apa? Kerana dia telah menginfakkan seluruh hartanya ke jalan Allah untuk membantu orang Islam pada zaman itu. Dia telah membebaskan hamba sahaya, semata-mata untuk merasakan rasa susah yang Allah mahukan. MasyaAllah. Abu Bakar sememangnya mempunyai peribadi yang sangat baik untuk dicontohi.

 

Dalam ayat (90:12-17), Allah SWT berfirman mengenai “jalan mendaki dan sukar” yakni

  1. Melepaskan hamba sahaya
  2. Memberi makan ketika terjadinya kelaparan
  3. Memberi makan kepada anak yatim

 

Dan, orang-orang tersebut, Allah kata termasuk orang yang beriman, saling berpesan untuk bersabar dan berkasih sayang. Menarik, bukan? Bukan itu sahaja, Allah SWT juga menyatakan bahawa golongan tersebut akan termasuk dalam golongan kanan, yakni golongan yang akan menerima catatan amalnya dengan tangan kanan.

 

Akhir kata, sangat ganjillah bagi seorang manusia apabila mereka tidak merasa susah dalam kehidupan seharian. Renungkanlah sejenak, adakah susah-payah kita itu membawa hasil yang baik di akhirat kelak? Kita tidak mahulah apabila di dunia kita bersusah-susah, dan di akhirat pun kita lagi bersusah-susah, kerana susah payah kita di dunia yang menzalimi diri kita sendiri seperti melakukan larangan Allah SWT.

 

Jazakumullahu khairan kerana sudi membaca.

p/s: Marilah bersama-sama kita mendaki jalan yang sukar di jalan Allah SWT

 

blog

Bisikan Hati

Au cak! Haaaa… Terkejut tak?

Assalamualaikum, dan salam sejahtera semua. Hehe, rajin pula Sis Cahaya update blog kan. Selalunya berhabuk je. Kikikikiki. InsyaAllah, saya akan cuba untuk mencuri masa saya demi sebuah penulisan. Cewah.

Baiklah, tiba-tiba hari ini, Allah hadirkan sebuah ilham untuk berkongsi soal, bisikan hati.

Bisikan hati? Macam sweet je? Macam tajuk lagu Melayu. Eh taklah.

Haaaa nak tahu kena habiskan pembacaan.

Kita manusia, secara kelazimannya, banyak mengikut kata hati, betul tak? Tahukah anda, syaitan mempunyai satu sifat yakni mereka membisik dan menghasut kita dengan cara membisikan ke hati, bukan ke telinga, bukan ke mata atau sebagainya. KE HATI.

“Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa tersembunyi. Yang membisikan ke dalam dada manusia” (Surah Al-Nas:4-5)

Pernah terfikir tak, kenapa terkadang kita terlintas untuk berfikiran negatif, bersangka buruk? Itu hanyalah hasutan syaitan.

Dia hasut kita weh! Contohnya, nak bangun subuh, liat. Syaitan bisik “Sakinah, alah awai lagi, satg hang solat lah naaa” Nak habis waktu subuh dah, syaitan bisik “Sakinah, takyah lah bangun, macam dah lewat sangat ja, satg hang qada’ lah”. Contoh okay contoh. Nak katanya, syaitan memang akan bisik kita untuk buat kita lalai dan leka. Sebab apa? Mereka dah janji dengan Allah akan sesatkan anak Adam AS, untuk bersama-sama mereka ke dalam neraka kelak!

Iblis menjawab: “kerana Engkau telah menghukum aku sebagai sesat, aku benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalan yang lurus”. (Surah Al-A’raf)

Kenapa syaitan nak bisik ke hati?

Kerana hati ialah RAJA SEGALA AMALAN.

Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan jika dia rosak maka akan rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah bahawa dialah HATI. (HR. Bukhari dan Muslim)

Nak katanya, perjalanan seseorang manusia bergantung pada hatinya. Jika hati kita baik, elok, bersih, hatta perbuatan dan tindakan yang terzahir daripada anggota-anggota lain juga baik. Begitu juga sebaliknya. Hati kita yang akan menggerakkan anggota lain untuk berbuat, samada berbuat benda mahupun buruk, dengan izinNya.

Kalau hati kita kotor, kelam, keras, bagaimana kita hendak melahirkan perkataan yang baik, perbuatan yang bersih, dan tindakan yang munasabah? Fikirkan.

Apakah pagar bagi hati? Pagar yang akan melindungi hati kita daripada dihasut syaitan, yakni IMAN.

Manusia, kelazimnya, fitrahnya, pastinya akan terhasut sahaja dengan bisikan godaan syaitan. Sebab apa?

Allah berfirman,

“Demikianlah Kami menjadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh,yaitu syaitan-syaitan dari jenis manusia dan dari jenis jin,sebagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).” (Surah Al-An’am:112)

Memang syaitan akan buat kita rasa seronok dengan dosa yang kita buat. Mereka akan provok kita dengan kata-kata yang indah, agar kita lebih mudah untuk terpedaya.
Namun, jika kuat iman kita, hati kita, maka bisikan tersebut insyaAllah tidak mampu menembusi hati kita.

Hanya dengan keimanan yang utuh terhadapNya, kita akan kuat dan terhalang daripada bisikan syaitan yang direjam itu.

Maka dengan itu…….. jeng3..

Berdoalah, pohonlah perlindungan daripada Allah, agar Dia, Rabb Yang Agung, lindungi kita daripada godaan syaitan. Hanya Dia yang mampu lindungi kita. Yakinlah!

Dan jika syaitan menganggumu dengan sesuatu godaan, maka pohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Surah Al-Fushilat: 36)

Jaga hati, jaga iman.

Cahaya Sakinah.

Allah Al-Munzilin

IMG_6191

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Allah masih pinjamkan nyawa, pinjamkan tenaga, pinjamkan segala anggota, untuk saya berkongsi sedikit sebanyak tentang sesuatu yang pada pengiraan saya agak manis untuk dikongsikan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Apa khabar iman? 🙂

Sudah agak berbulan saya tidak memuatkan apa-apa post ke dalam blog saya. Namun, Allah pinjamkan masa untuk saya pada hari ini.

Hah, cuba teka saya nak berkongsi tentang apa?

ALLAH AL-MUNZILIN, yakni Allah sebaik-baik pemberi tempat.

Kenapa Sis Cahaya nak cakap pasal Allah Al-Munzilin pula ek? Haaaa, mesti nak tau kan?

Pertama sekali, rasa macam bersyukur sangat bila mana Allah tempatkan saya belajar jauh di negara orang, yakni India. Meskipun pada mulanya, saya agak berat untuk menerima tawaran ini, atas dasar faktor “kedaifan” India (bak kata orang, hmm suka sangat dengar mulut orang ish3), namun, Allah masih memilih saya untuk berada di sini.

Sebenarnya, sejujurnya saya cakap, saya bukanlah pelajar yang pandai pun. Senang cerita, ramai lagi kawan-kawan saya yang pandai, kelas pertama, yang keputusan SPM mereka jauh lagi baik daripada saya. Dan mereka juga bersama-sama saya ketika temuduga MARA. Rasa macam “Konfem ah tak dapat, aku dahlah satu kumpulan dengan budak kelas pertama kat MRSM”. Nak katanya, pasrah sebelum berjuang lah.

Namun, takdir sudah memilih saya, Allah dah pilih, Sakinah, untuk dapat tawaran ini. Meskipun bukan ke Ireland seperti yang dipohon, tapi India.

Pada mulanya, saya macam tak boleh nak ‘brain’. Kenapa Allah pilih aku? Kenapa Allah nak juga aku belajar medik kat India ni?

Rupa-rupanya….

Allah Al-Munzilin, sebaik-baik pemberi tempat. Bila fikir balik kronologinya, cantik lah takdir yang Allah susun untuk saya. Alhamdulillah.

Allah hantar saya, belajar jauh-jauh, beribu batu dari zon selesa saya, jauh daripada keluarga tercinta, dan jauh dari masa lalu saya.

Dia nak bagi saya sesuatu yang lebih besar daripada kos medik tu sendiri.

Yakni, peluang untuk kenal DIA.

TARBIYAH.
Yakinlah, walau di mana kita berada, yakinlah bahawa Allah yang letak kita pada tempat tu.

Dan berdoalah “Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat”. (Al-Mukminun:29)

Sukalah kesan dia apabila kita percaya dengan apa yang Allah bagi tu sebenarnya kebaikan untuk diri kita. Sepertimana Dia berfirman dalam surah Al-Nahl, ayat ke 30:

Dan dikatakan kepada orang bertaqwa: “Apakah yang diturunkan oleh Tuhanmu?” Mereka menjawab: “(Allah telah menurunkan) kebaikan”. Orang yang berbuat baik di dunia ini akan mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang bertaqwa”. (AL-Nahl:30)

Seronok tak? Bila mana Allah berfirman, apa yang Dia turunkan kepada kita itu adalah KEBAIKAN. Baik untuk diri kita sebenarnya. Mungkin pada mulanya saya agak berat untuk menerima hakikat bahawa saya akan menghabiskan masa 5 tahun di India, namun yakinlah, itu merupakan kebaikan untuk saya.

InsyaAllah, semoga menjadi renungan buat kita semua.

Nantikan post saya seterusnya. Saya akan cuba untuk berkongsi dengan lebih aktif lagi selepas ini. Doakan.

Tidak kira dimana pun Allah tempatkan kita, insyaAllah, itulah yang terbaik untuk kita.

Yakinlah.

Cahaya Sakinah.

#TravelWithCahaya

Assalamualaikum dan salam sejahtera! Ya Allah, berhabuk dah blog saya ni kan. Maaflah, dah masuk semester 2 ni, kesibukan dan komitmen bertambah.

Hah, nak cakap sikit ni, minta maaflah kepada siapa-siapa yang komen kat blog and email saya, tapi saya lambat sikit nak membalasnya, aseef jiddan 😦

Baiklah. Hari ini, alhamdulillah Allah bagi saya masa, untuk membuat perkongsian tentang jaulah pertama saya di bumi India. Jaulah? Apa tu? Haa, jaulah dari sudut Bahasa ialah keliling. Manakala dari sudut istilah ialah sekumpulan manusia yang mengembara untuk merapatkan ukhuwah sesama mereka sambil mencari keredhaanNya.

Cuba teka jaulah pertama saya mengembara ke mana? MANIPAL. 8 jam perjalanan dari Belgaum.

Nak dijadikan cerita, beberapa hari sebelum jaulah ini, ada seorang hamba Allah ni tanya kat saya.

Kak A   : Awak suka tengok apa kalau kat alam ni?

Saya    : Saya suka tengok pantai, dah lama tak pergi pantai.

Kak A   : Bawalah murabbi awak ke Manipal, pantai dia cantik sangat.

Saya    : Wahhhh serious nak pergi! Tapi, entahlah. Busy 😦

Sejujurnya pada masa itu, saya rasa sangat mustahil untuk ke Manipal, dengan kesibukan yang ada lagi. Kalau nak pergi dalam masa terdekat, memang tak lah.

Namun, takdir Allah begitu indah. Dan Dia memperkenankan permintaan saya.

Bertolak pada jam 9 malam, Sabtu. Alhamdulillah sampai ke tempat destinasi dalam jam 5.30, Ahad. Menumpang di sebuah rumah Islam yang penghuninya merupakan pelajar Malaysia kos perubatan di Manipal Universiti.

Perjalanan 8jam menaiki sleeper bus sangat menarik. Sambil-sambil dapat menikmati tadabbur alam, dapat juga merehatkan diri.

Aktiviti jaulah kami bermula dengan pengembaraan ke tepi pantai. Wah! Bukan sahaja ke tepi pantai, kami juga sempat pergi ke sebuah pulau, Saint Mary’s Island, dengan menaiki bot. Teruja sangat! Rasa terharu dengan Allah, sebab Dia dengan mudah dan pantasnya memperkenankan hajat saya, alhamdulillah.

Indahnya alam ciptaan Sang Ilahi. Pasirnya putih, air lautnya jernih. Dihiasi dengan pecahan kulit kerang di persisiran pantai. Mentari juga tidak terlalu terik, seolah-olah menyambut kedatangan kami. Angin sepoi-sepoi menghembus dan melegakan hangat di pagi hari. Indahnya. MasyaAllah.

Bulatan gembira pada detik ini bukanlah sebuah bulatan tipikal. Istimewanya terserlah apabila bulatan itu dibina sambal berendam di tepi pantai. Ombak tidak jemu-jemu memukul kami, namun genggaman tangan dan fokusnya kami kepada hadaf jaulah kali ini lebih kuat melawan derasnya arus ombak.

Hati ini dijentik olehNya, melalui pengkongsian berilmiah dalam sebuah bulatan ukhuwah fillah. Terkesan dengan perkongsian, maka diri ini pula bergegas memikirkan tindakan. Strategi direka demi meningkatkan iman.

Lokasi kedua, Secret Garden. Di mana kami melakukan aktiviti bersama rakan-rakan Malaysia yang menetap di Manipal, berkongsi perasaan, meluahkan curahan. Bertukar-tukar pandangan, mencari solusi untuk setiap permasalahan. Alhamdulillah, saya temukan jawapan.

Setiap manusia memang ada sebuah attachment dengan hal keduniaan, yang tidak semudah itu untuk kita hapuskan. Namun, jangan pernah berputus asa untuk mencari keredhaanNya.

“Tidak ada istilah munafik dalam mencari jalan keredhaanNya”

Semoga berjumpa lagi, Manipal. Ringkaskan jaulah pertama saya? Ringkas namun padu pengisiannya.

Chillax, Cahaya Sakinah.

p/s: JZKK buat ukthi-ukhti yang membantu kami.

 

Allah SWT dengan mudahnya kabulkan doa kita, kenapa kita masih tak yakin padaNya? Bukankah takdirnya itu indah dan terbaik untuk kita? Sesungguhnya, perhitunganNya tiada tandingan. Fikirkan.

 

IMG_5315IMG_5321IMG_5356IMG_5363IMG_5370IMG_5378IMG_5406

Lepasan SPM

DSC_1480_副本

(Throwback SPM2013, bersama Siti Fazira Norfatiha, beliau juga kini melanjutkan pendidikan di Ragas Dental College, Chennai, India dalam bidang pergigian)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Apa khabar? Saya harap kalian semua sihat di bawah lindungan Allah. InsyaAllah.

Okay! Sejak akhir-akhir ini saya acap kali menerima email/chat daripada calon-calon lepasan SPM 2015, mereka bertanyakan tentang perjalanan saya, proses apakah yang saya lalui selepas saya mendapat keputusan SPM.

Justeru itu, terdetik hati saya untuk berkongsi dalam entry blog saya kali ini. Semoga dapat sedikit sebanyak membantu adik-adik di luar sana, insyaAllah.

Baiklah, selepas saya mendapat keputusan SPM, saya terus memohon biasiswa yang disediakan. Saya sempat memohon JPA dan MARA. Tapi, saya terlupa untuk memohon biasiswa JPA-MARA. So, adik-adik, saya nasihatkan, selepas sahaja mendapat keputusan SPM, cepat-cepat mengisi boring online untuk segala biasiswa yang boleh diisi. Mohon saja sebanyak mana yang layak. Biasiswa Petronas, Kijang Emas, Bank Negara etc. Tarikh tutup biasiswa-biasiswa tersebut (kalau saya tidak silap), seminggu selepas keluarnya keputusan SPM. Oleh itu, jangan tangguh lama-lama. Terus isi! Jangan lepaskan peluang. Yang bulat tidak akan dating bergolek, yang pipih tidak akan dating melayang. Hehe.

Dalam tempoh lebih kurang sebulan, insyaAllah, keputusan biasiswa boleh diperiksa di laman web masing-masing. Jikalau adik-adik Berjaya melepasi permohonan, adik-adik akan dijemput untuk menghadiri sesi temuduga. Saat itulah, adik-adik akan diuji. Pada zaman sekarang ini, ramai sahaja pelajar yang pintar, oleh itu mereka perlu membuat sesi temu duga, untuk mencari faktor X dalam diri kita. Jangan takut, jangan gentar! Yakin sahaja. Allah bersamamu, insyaAllah.

Berbalik kepada kisah saya dan juga biasiswa (poyo je), dengan izin Ilahi, saya mendapat biasiswa MARA. Pada awalnya saya memohon untuk menyambung bidang perubatan di Ireland, namun pihak MARA memberikan saya peluang lain pula yakni perubatan USM KLE. Saya melanjutkan foundation saya (PRA U USM) di Kolej Mara Kulim, Kedah kemudian terbang ke India untuk menyambung pendidikan dalam bidang perubatan. Indah sungguh takdir Allah.

Oh ya! Pasal permohonan UPU, kalau adik-adik memang bercita-citauntuk masuk dalam bidang perubatan, isilah mana-mana IPTA yang menawarkan asasi sains.

Jika ada sebarang soalan, boleh komen kat ruangan komen atau boleh terus email kepada saya (cahayasakinah27@gmail.com) ataupun chat saya melalui WeChat (xoxo_sxak).

All the best for SPM 2015 result! It’ll worth your efforts. Tawakal.

Chillax, Cahaya Sakinah.

Benci jadi sayang

21 Jan 2020, majlis perkahwinan.

20 Jan 2020, 1601, termangu. Masih di ruang menunggu balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Keningau. Dindaku belum lagi menunjukkan bayang, bau minyak wanginya Forever Sexy jenama Victoria Secret itu belum singgah di deria ku. Sudah 3 penerbangan Bangalore-Keningau selamat mendarat sejak 8 pagi tadi. Hati ini tidak senang duduk menanti, rindu, risau, kecewa, bahagia semua bercampur baur. Pening aku memilih rasa. “Ah, silap aku juga tiada menanya apa nombor penerbangannya, pukul berapa tibanya”, getus ku di dalam hati. Cuma apa aku tahu dia akan tiba sehari sebelum majlis perkahwinan kami. Selebihnya aku sengaja tidak ambil tahu, mahukan kejutan, untuk aku dan juga untuk dia. Biarlah menanti, aku sudah biasa.

Aku mula berjalan ke skrin informasi ketibaan di tepi ruang menunggu ini, 30 minit lagi penerbangan terakhir dari Bangalore akan tiba.“Ini harapan terakhir ku dinda, andai kau tidak juga kulihat, maka aku perlu berprasangka”, hati kecilku berharap.

5 minit aku kaku berdiri di hadapan skrin ini, terlintas cadangan prasangka yang pertama. Apakah rakyat Malaysia bakal berkabung kali kedua untuk penerbangan berpendaftaran Malaysia yang hilang tanpa jejak. Pray for apa pula kali ini. Aku mula menyusun teori-teori penerbangan yang nanti akan aku tuliskan di feed Facebook dan timeline Twitter. Iluminati? Teori pengurangan penduduk dunia? Sambil itu ingatan ku teralih kepada mangsa-mangsa nahas kapal terbang yang melibatkan syarikat penerbangan milik Malaysia. Kasihan pada mereka. Mungkin sebab itu ayah melarang aku dan adik-adik untuk tidak menjadi pilot atau krew penerbangan. Arh, jauh sangat aku menerawang. Prasangka ini tahap kemustahilannya tinggi, tiada pula laporan nahas kapal terbang sejak pagi tadi. Aduh, bengap.

Ku rasakan kebas di kaki, lama sangat mimpi berdiri. Aku berjalan semula ke tempat duduk ku tadi, masih kosong. Syukur alhamdulillah. Sebaik aku duduk, deria ku tertarik kepada perbualan seorang ayah dan anaknya. “Ayah, pukul berapa mak akan sampai?” tanya si anak yang dari pengamatan ku umurnya baru menjejak sekolah rendah. “Sekejap lagi sayang, mak sudah selamat mendarat”, balas si ayah. “Seronoknya mak dah balik. Tapi ayah, kenapa mak pergi bercuti dengan rakan-rakan sekerjanya sahaja? Kenapa mak tak bawa adik dan ayah sekali?”, si anak mencetuskan konflik kecil. Terdiam si ayah, hanya tersenyum melihat anaknya kemudian mengalihkan pandangannya. Tinggal si anak menanti jawapan. “Itu trend sekarang dik”, aku menjawab. Tapi cuma di dalam hati, tidak tersebut dilidah nanti dikata menyelak kain orang.

Ku tamatkan perhatian ku di situ, kembali menerawang sementara menanti. Cadangan prasangka kedua, apa mungkin kau terlepas penerbangan. Terlewat bangun? Jalan sesak? Passport hilang? Jangan sahaja kerana terlewat bangun, malu apa yang akan keluarga kita tanggung, tertangguh kahwin hanya kerana terlewat bangun. Sebab itu ibu pernah pesan, “Along carilah isteri yang boleh bangun awal. Boleh solat subuh berjemaah dengan along, boleh buatkan sarapan untuk along, boleh uruskan anak-anak”. Betullah pesan ibu, baru tersedar.

Tersedar dengan lamunan itu, ku alihkan pandangan ke jam dinding Orlando di dinding terminal ini yang digembar-gemburkan di media sosial harganya mencecah RM 40 000 seunit. Peliknya aku, rakyat kita ini terlalu mahir mencari kesilapan-kesilapan yang tersembunyi. Apa mereka sudah tiada kerja lain untuk dilakukan atau memang itu kerja mereka. Oh, mungkin kerana cadangan 2 kerja, aku husnudzon. Yang menjadi perkiraan akhirnya cumalah masanya, bukan harga.

1625, sekejap lagi mungkin kapalmu akan mendarat. Tidak lama lagi rindu yang terbeban dapat ku lepaskan. Terlalu lama tidak bertemu.

Semalam dirumahmu banyak sungguh rungutan makcik-makcik kau dan aku.

“Kenapa pengantinnya tiba sehari sebelum majlis, apa tiada persediaan yang mahu dilakukan?”, itu makcik sulung aku.

“Kenapa majlisnya buat di masjid sahaja, kenapa bukan dihotel mewah berbintang 6 atau 7, kamu kan punya wang yang banyak?”, ini pula soalan mak su dinda.

“Kenapa tiada pelaminan, tiada majlis merenjiskah?”, yang ini makcik dua pupu belah ibu.

Jawapan ku mudah tapi agak kontroversi, ini perkahwinan yang kita landaskan pada syariat bukan pada adat. Adat itu bukan kewajipan, malah ada pula yang menyusahkan. Biarkan sahaja, ada yang tidak faham.

Ingatanku ku alihkan semula kepada namamu dinda. Kali ini, perancangan bahagia selepas majlis perkahwinan kita. Telefon bimbit di kocek seluar ku capai. Diselongkar peti masuk emel mencari kiriman daripada syarikat penerbangan Rayani Air. Jumpa, buka. Keningau-Kansai, 30 Januari 2020. Salah satu life goal yang selalu kau sebut, malah kau lekatkan di bilik mu di Bangalore. Akhirnya impian mu bakal tercapai sayang. Syukur sahaja aku ini sudah punya kerja dan kewangan yang stabil, kekadang aku risau memikirkan nasib lelaki-lelaki lain yang terpaksa bersusah untuk menjadikan impian-impian mengarut kekasih mereka jadi kenyataan. Surprise hadiah ulangtahun, ulangbulan. Hadiahnya mahu yang up-to-date, boleh dimegah-megahkan. Boleh dijadikan antara post sweet di Instagram. Huh, inilah akibatnya bila kita terlalu mengagung-agungkan hidup mereka yang kaya dengan harta. Bermimpi bukan diatas bantal yang sesuai.

1645, sekali lagi aku menyeluk kocek seluarku untuk mengambil dompet yang telah dihadiahkan oleh dindaku yang tercinta sempena harijadi aku April tahun lepas. Dompet kulit yang dibelinya di Mumbai. Pandai sungguh bakal isteriku memilih, pujiku di dalam hati. Ku selak dompetku, lalu terpampanglah gambar aku bersama dindaku 7 tahun yang lalu. Ya, sewaktu kami masih dibangku sekolah menengah. Aku tertawa kecil. Terimbau saat pertama kali berjumpa dengan si dia. Perkenalan kami bukanlah seperti perkenalan yang biasa. Pada mulanya, kami seakan anjing dan kucing. Pantang berjumpa, ada sahaja benda hendak menjadi bahan kelahi antara kami.

Aku masih ingat lagi, pertemuan pertama kami sewaktu di Kelab Debat. Tak sangka, baru dua minggu dia menjadi pelajar MRSM Kota Kinabalu, dia sudah melebarkan sayapnya ke dunia debat. “Impressive,” getusku di dalam hati. Rasya Aleeya, nama seindah pemiliknya. Namun, diriku bukanlah seorang pria yang mudah goyah dengan raut wajah, apa yang aku lihat ialah kecantikkan dalaman. Eh, macamlah “dalam” aku ni cantik sangat. Hmmm. Aku bermonolog sendirian.

“Rasya, sampai bila nak harapkan aku untuk cari kata kunci? Definisi secara konseptual pun kau masih terkial-kial? Kau ni, aku dah ajar kan? Bengap betullah. Hish!” Bentakku. Rasya cuma berdiam,  matanya kelihatan berkaca-kaca. Buat pertama kalinya dia tidak melawan balik kata-kata kerasku. Biasanya, ada saja ideanya untuk menjatuhkan hujahku, tapi kali ini dia hanya berdiam. Air mata mulai membasahi pipi gebunya. Arh! Hatiku menjadi sangat serba salah. Aku tidak menyangka akan sekasar ini. Rasya mengambil fail bercorak Hello Kittynya dan berlalu pergi meninggalkan ahli debat yang lain. Tegang. Aku meraup wajahku dengan penyesalan yang mendalam. Betullah kata orang tua-tua, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.

Pada malam itu aku tidak dapat melelapkan mata. Fikiranku tertumpu pada Rasya. Entah mengapa rasa bersalah ini tidak mahu lenyap. Buntu aku memikirkannya. TINGGG! Tiba-tiba otakku teringat akan tugasan laporan minit mensyuarat Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) yang aku serahkan kepada Rasya malam semalam. Aku meminta dia untuk menyiapkan tiga minit mesyuarat dan hantarkan kepada aku secepat yang mungkin. Ya, aku sebagai Ketua LDP, sengaja memilih Rasya untuk menjadi Setiausaha aku kerana aku ingin membulinya, Patutlah Rasya kelihatan tertekan tadi, barangkali stress dengan lambakan kerja dan ditambah pula dengan usikkan kasarku. Aduh! Apa yang aku telah lakukan. Hatiku seakan ingin menangis, rasa kesal yang teramat.

Walau raga kita terpisah jauh, namun hati kita selalu dekat…

Telefon bimbitku berdering dengan alunan lagu Aishiteru nyanyian Zivilia, eh Bonda is calling.

“Assalamualaikum ibu, kenapa ibu call Along?” soalku. Cuak.

“Hah waalaikumusalam. Along dekat mana ni? Kenapa tak balik lagi? Along tahu kan esok majlis Along dengan Sya. Korang berdua patutnya balik dulu. Bukan hendak merayau. Banyak nak kena buat ni.” Pehh, tinggi nafas ibu. Dengan hanya satu lafaz sahaja ibu menembak deria pendengaranku.

“Ibu, tenang okay? Along masih tunggu Sya kat airport ni. Tak sampai lagi, bukan salah Along. Ya Along tahu banyak kena buat. Ibu bagi Along sejam lagi okay? Bye ibu, jumpa kat rumah” Tet. Aku memutuskan talian. Tak sanggup aku mendengar leteran ibu buat masa ini, hatiku juga sedang gundah gulana memikirkan keberadaan dindaku. Aduhai sayang, dimanakah dirimu kekasih hatiku?

 

Aku membawa fikiranku kembali ke masa laluku.

“Rasya! Aku minta maaf!” jeritku sekuat hati. Arh, tidak kupedulikan pelajar lain yang memperhatikan gelagatku. Rasya terlihat sungguh terkesima dengan perlakuanku. Sungguh dia tidak menyangka aku sepolos itu untuk merayu kemaafannya. Aku gantungkan kad saiz A3 pada leherku dan melutut di hadapan kelas Rasya. Aku seperti orang kurang waras. Jatuh imejku sebagai Ketua LDP.

“Hafiz, kau dah kenapa? Dah, dah, bangun. Buat malulah” Rasya kelihatan sangat geram dengan tindakkanku.

“Weh Rasya maafkanlah aku. Aku tahu aku selalu sakitkan hati kau. Selalu susahkan kau, selalu buat kau marah. Aku… Aku…” Tergagap-gagap aku meluahkan kata hati. Arh! Secara tiba-tiba perempuan ini membuatku rasa gila. Tidak senang duduk aku dibuatnya. Oleh kerana itulah aku menjadi senekad ini. Bertindak kurang waras untuk penuhi kehendak hati.

“Okay aku maafkan kau. Dasar Hafiz gemok! Tanggalkan kad ni sekarang!” Dengan hanya sekelip mata hatiku menjadi kembali tenang. Rasya sudah memaafkanku. Dia sudah kembali menjadi perempuan mulut puaka dengan mengejekku gemuk. Ish! Tapi tidak mengapalah, asalkan kami boleh kembali seperti dahulu, aku gembira. Melihat telatah dia menahan marah adalah kesukaanku. Entah, dia comel apabila sebegitu. Eh?

Grrrr… Perutku berkeroncong, meronta-ronta minta diisi. Aku lupa. Rupanya aku belum pun menjamah sesuap nasi sejak tengahari tadi. Dinda punya pasal, kanda sampai terlupa hendak makan. Aku meninggalkan tempat dudukku dan mencorak langkah ke McDonald di hadapanku. Terlihat sepasang pasangan kekasih yang sedang selfie berdua. Mereka seakan berada di dalam dunia mereka sendiri. Entah kahwin entah tidak, aku mulai berprasangka. Astagfirullalalzim, adakah aku terlalu bosan sehinggakan aku terlalu memerhatikan orang sekelilingku? Siapalah aku untuk menilai orang lain. Diriku juga tidak sempurna.

One double cheeseburger combo, please? Thank you” makanan kesukaan kami berdua menjadi pilihanku. Alahai, rindu sangatlah ni.

Istimewanya Rasya, sehinggakan abah dan ibuku sangat menyenangi dia dari hari pertama berjumpa dengannya pada hari raya pertama 7 tahun dahulu. Buat pertama kalinya aku membawa keluargaku ke rumah Rasya di Keningau, untuk memperkenalkan keluarga kami berdua. Sikap santun Rasya terhadap orang tua sangat menyentuh hati ayah dan ibuku. Dan, tidak kusangka pula yang diriku juga mendapat pujian daripada papa dan mama Rasya.

Suka dan duka kita lalui bersama. Meskipun di permulaan episod kisah perkenalan kita kurang baik, namun keindahan itu datang juga akhirnya. Diduga dengan kehadiran orang ketiga di pihak aku, hampir memisahkan kami berdua suatu ketika dahulu. Aku mengaku aku bersalah, aku terhanyut dengan kisah cinta laluku sebelum kehadiran Rasya. Nasib baik Rasya memaafkan kekhilafanku, walaupun sebenarnya aku tidak layak untuk dimaafkan. Murni sungguh dirimu untukku dinda. Benarlah kata orang, “dua jiwa yang bersatu tak semuda itu untuk dileraikan”. Aku tahu, dindaku Rasya sangat mencintaiku. Begitu juga aku, mencintainya sedalam yang mampu. Tersenyum aku membayangkan hari esok, saat dia sudah sah menjadi isteriku. InsyaAllah.

“Kanda”, tiba-tiba ada sapaan di telinga ku.

Ku toleh ke kanan, “Eh dinda, selamat pulang”, terus aku berdiri melihat kehadiranmu sambil tenang di hati melihat keberadaanmu. Satu bagasi pink di tangan kanan, beg galas komputer riba di bahu dan satu beg tangan di lengan kiri. Terserlah gaya siswimu. Siswi tahun akhir jurusan perubatan USM-KLE.

“Kenapa kanda tak tunggu dinda di depan itu? Kenapa duduk termenung di sini? Menungkan apa tadi? Dinda?”, aduh baru sesaat dua sudah empat soalan. Sama seperti ibu.

“Oh maaf dinda, kanda terlalu banyak termenung beberapa hari ini, tadi itu fikirkan persediaan kahwin kita dan juga mengenangkan kisah pahit manis kita dahulu kala. Ialah, selepas inikan 24 jam kena termenungkan dinda”, menjawab soalan sambil memujuk semula hati dia.

“Ayuh kita ke kereta agar dinda boleh cepat berehat dirumah, jauh perjalanan tadi kan.”, tambah aku lagi. Dia tersenyum, mungkin terlalu penat tapi masih menunjukkan keriangan di wajahnya. Senyuman yang sudah lama tidak kulihat secara live. Rinduku terubat. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku peluk dindaku ini. Namun, iman masih bertapak di hatiku. Akal warasku masih boleh berfungsi dengan baik.

Jauh perjalanan, fikirkan soal pelajarannya tambah lagi perihal kahwin. Sebab itulah aku cuba sebaik aku untuk kurangkan bebannya dalam memikirkan soal perkahwinan ini. Kasihan dindaku, pasti dia penat. Dari Belgaum ke Bangalore sahaja sudah 10 jam perjalanan menaiki bas. Dari Bangalore ke Keningau pula mengambil masa 5 jam perjalanan. Biarlah dia beristirahat.

Sekaligus itu, tamatlah semua lamunan ku tadi. Tinggal sahaja, bersedia untuk lafaz nikah esok. “Aku terima nikahnya …..”

Betullah kata ibu, jangan benci-membenci, lama-lama menjadi sayang.

 

#CerpenCahaya

Ailurophobia? Kini tidak lagi!

Assalamualaikum dan salam bulan Februari. Bulan kelahiran saya. Jangan lupa kirim hadiah tau? Hahaha.

Baiklah, hmmm. Kali ni saya nak berkongsi tentang bagaimana saya menghilangkan rasa fobia terhadap kucing. Ya, saya dulu mempunyai fobia terhadap kucing yang dinamakan Ailurophobia. Hmm, kalau jumpa kucing, mahunya saya melompat, berlari 100 meter, pecut habis. Takut lah katakan. Apa yang ditakutnya pun tak taulah. Hahahahaha. K gelak kat diri sendiri.

Saya mempunyai keinginan untk bermanja dengan kucing-kucing. Mereka sungguh comel, namun ketakutan menguasai diri. Inilah manusia, suka benar membiarkan perasaan bermaharajalela menganggu minda. Eh? Sentap sendiri, huhu.

So, apa saya buat ialah, saya mula berjinak-jinak dengan binatang berbulu, seperti arnab. Saya pun bela lah Pearl. Gemuk dah Pearl sekarang ni. Sudah hampir dua tahun bersama keluarga saya, alhamdulillah. Setahun saya belajar di Kolej Mara Kulim menjadikan saya mula toleransi dengan kewujudan kucing. Almaklumlah, jumlah kucing lagi banyak daripada bilangan pelajar. Eh? Over pulak. Hahaha.

Kebetulan pula, ditemukan saya dengan seorang insan yang bernama Aina Sofiya yang sangat menyayangi kucing. Beberapa kali jugalah saya menumpang rumahnya jikalau ada cuti yang agak panjang. Rumahnya penuh dengan kucing. Dan buat pertama kali juga, saya menggendong kucing Aina, Bubun. Tak pernah saya seberani itu! Aduhai. Bangga jugalah, sikit. Hehe.

Saya mulai menyesuaikan diri, walaupun perasaan takut akan kucing masih memenjarai diri, namun tetap dilawan! Ceh. Jangan mudah goyah teman-teman.

Dan kebetulan lagi, keluarga saya memelihara kucing. Makin “akrab” lah hubungan saya dengan kucing ni, alahai.

Sampai satu ketika tu, di USM-KLE, saya dan roommate saya, Wani, membuat keputusan untuk memelihara seekor kucing. Anak kucing tersebut sesat, kasihan. Kami mengambilnya dan menamakannya Swift. Ingatkan betina, rupanya jantan. HAHAHA. Cage dan collar dia warna pink pulak tu. Aduhai…

Swift, tidak seperti kucing biasa. Tersangatlah aktif, kuat mencakar dan menggigit tidak kira waktu. Pada awalnya, saya akui, agak terseksa jiwa dan raga saya. Bayangkanlah, saya masih lagi takut dengan kucing, lepastu saya bela kucing. Setiap hari saya menjerit, berlari melompat pusing satu bilik kerana dikejar oleh Swift. Stress jugalah. Namun, kerana kasih dan sayang yang sudah mulai tumpah buat kucing tersebut, saya akur.

Benarlah kata orang, perubahan besar memerlukan masa, dan pengorbanan, tidak lupa juga kegigihan diri kita sendiri.

Keinginan yang sangat mendalam untuk saya membuang fobia ini membantu saya dalam menangani masalah ini. Alhamdulillah, kini, saya sudah tidak takut apabila kucing datang mendekati saya. Tidak ada lagi jeritan nyaring yang saya hasilkan apabila terjumpa dengan kucing. Tidak ada lagi larian maraton. Tidak ada lagi rasa tekanan.

Saya juga tidak menyangka, yang saya mampu untuk menangani ketakutan saya.

Oleh itu, apa yang saya hendak sampaikan, sebenarnya, kita boleh mengawal perasaan kita. Apa yang penting ialah, sama ada kita mahu atau pun tidak.

 

Control your feelings, do not let feelings control you.

Chillax, Cahaya Sakinah.

IMG_0527IMG_0379IMG_0874IMG_0876IMG_7155IMG_7212IMG_7755IMG_8586IMG_8768IMG_9271IMG_9295IMG_9935IMG_9988

 

Aku sudah pulang

Assalamualaikum dan salam cuti 2 minggu kepada saya. Hehehe.

Alhamdulillah, saya telah sampai mendarat di tanah air pada pagi semalam dan kini sedang menggunakan WiFi rumah sendiri untuk memuatnaik post blog saya yang terkini.

Selesai sudah semester pertama tahun pertama saya. 4 hari waktu peperiksaan akhir Sem 1 begitu menguji diri kami semua, namun, alhamdulillah dengan izinNya, kami mampu menjawab soalan dengan lancar.

Hmmm, perjalanan saya untuk balik ke Malaysia boleh tahan lama dan jauh perjalanannya. Dari Belgaum ke Bangalore sahaja sudah mengambil masa hampir 10 jam. Yang menariknya, kami menaiki bas berkatil! Belum ada kemudahan ini disediakan di Malaysia. Teruja juga saya. Sebelum bergerak ke airport, saya dan sekumpulan teman-teman Xanthrons berjalan-jalan di sekitar Bangalore. Alahai, terdapat banyak berbezaan yang zahir antara Belgaum dan Bangalore. Nak tahu? Jom lah ke India! Hehehe.

Sistem pemeriksaan di India sangat ketat. Terkejut kami apabila kami hendak ke Orion Mall, Bangalore, beg dan diri kami diperiksa sama seperti sistem di airport. Beg kena check, kena scan. Alahai. Di airport lagi lah, kami diminta untuk mengeluarkan segala peralatan elektronik termasuklah chargernya sekali tau. Walau bagaimanapun, kami turuti saja peraturan mereka.

Nasiblah kami boleh menumpang seketika di rumah kenalan senior kami di Bangalore, rumah akak-akak Medic juga. Dapatlah kami mandi, solat dan simpan barang yang berlungguk di sana sementara berjalan-jalan. Thanks akak semuaaaaaa.

Allah mudahkan urusan kami, alhamdulillah. Semua berjalan dengan lancar, sampailah saya menjejakkan kami di halaman rumah. Rindunya dengan semua orang, alahai.

Dua minggu cuti ni, saya nak belajar masak. Sy dah reti lah sikit-sikit, tapi banyak juga nak belajar. Doakan tau!

FullSizeRender 2FullSizeRender 3FullSizeRender copy 2FullSizeRenderFullSizeRender copy

Selamat datang 2016

IMG_9766

Berlabuhlah tirai 2015.

Bangkitlah wahai manusia sejagat, tubuhmu masih dipinjamkan nyawa oleh Sang Pencipta yang Maha Pemurah,

Bukalah matamu melihat dunia, gagahkan dirimu untuk merasakan kehangatan mentari tahun baharu, hiruplah anugerah gas oksigen Tuhanmu agar proses penjanaan ATP tubuhmu kekal normal, hembuslah gas karbon dioksida agar boleh dimaanfaatkan oleh flora di sekitarmu.

Tahun baharu. Detik yang dinanti untuk memulakan sebuah corak kehidupan yang baharu. Detik yang sesuai untuk kita merubah cara pemikiran kita. Detik yang seharusnya kita mulakan dengan buang yang keruh dan ambil segala yang jernih. Detik yang paling memberi impak yang baik kepada kita untuk berubah ke arah jalan yang diredhaiNya.

Tahun baharu. Bukanlah suatu ketika yang hanya bahagia yg dirasa. Sedih dan hiba juga menghimpit jiwa. Tidak semua yang bersama dengan kita di tahun 2015, akan terus bersama kita di tahun baharu. Andai kata dahulunya kita sering bermain kata, segala rajuk dan manjaku dia turutkan saja, segala karenahku dia layankan saja tanpa lelah, kini terlalu sukar untuk kita berbicara. Jauh sekali bertatap mata. Dan jauh sekali berbalas jenaka.

Kerinduan terhadap memori 2015 kupendamkan saja. Biarlah ia tersimpan rapi di cabinet kalbuku yang paling dalam.

Manusia datang dan pergi. Tidak diduga kunjungannya, dan tidak pula diminta pemergiannya. Siapalah kita untuk memaksa mereka untuk setia bersama kita?

Namun, kehidupan haruslah diteruskan. Tujuan hidup untuk menjadi abid dan khalifah di muka bumi masih panjang perjalananya. RedhaMu Ya Rabbi yang diriku cari. Kurniakanlah kami nur-Mu, agar terang liku-liku hidup kami.

 

Bangkitlah wahai manusia sejagat, kerana tubuhmu masih dipinjamkan nyawa. Laksanakan kebajikan, kuatkan iman, dan tingkatkan takwamu.

Semoga kita semua menjadi penghuni Jannah Allah.

Cahaya Sakinah.

CAKNA

IMG_0035   IMG_0046IMG_0037    IMG_0023 IMG_0024 IMG_0034IMG_0032IMG_0030IMG_0026

Assalamualaikum dan salam hujung tahun. Tak sangka, kita telah berada di hari-hari yang terakhir bagi tahun 2015. Sudah terlaksanakah azam-azam tahun 2015 anda? Tepuk dada tanya selera. Tapi jangan tepuk kuat sangat, nanti terkeluar jantung tu saya tak nak tanggung. Hehe gurau je alahai.

Hmmm, sudah 3 bulan saya menetap di bumi yang begitu asing bagi saya. Sejujurnya, saya mulai merasakan cabaran hidup sebagai seorang perantau dan juga sebagai seorang pelajar medik.

Banyak yang hendak saya kongsikan dengan para pembaca setia blog saya. Hehe…. Nak tahu? Teruskan pembacaan anda. Cewah.

Nak dijadikan cerita, baru-baru ini saya telah diberi peluang oleh Allah untuk melaksanakan salah satu impian saya dari umur belasan tahun, iaitu, menyertai badan amal kebajikan yakni CAKNA.

Mungkin sudah ramai warga USM-KLE yang mengetahui akan kewujudan CAKNA ini walaupun penubuhannya baru sahaja 2 bulan. Alhamdulillah, masih ada insan-insan muda yang prihatin dengan keadaan di sekeliling. Kadangkala, belajar tentang kemanusian secara teori tidaklah begitu efisien kalau hendak dibandingkan dengan mempraktikkan dalam kehidupan.

Di luar sana, alangkah ramainya golongan manusia seperti kita yang serba tidak cukup hak asasinya, yang mana mereka makan untuk hidup. Sudah hampir 4 bulan saya memijak bumi India, dan sudah terlalu ramai peminta sedekah yang saya terjumpa. Kasihan mereka. Kehidupan mereka mendesak merek untuk melakukan hal sedemikian. MasyaAllah…

Allah jadikan kita berjenis-jenis. Ada yang kaya, ada yang kurang. Untuk apa? Untuk meningkatkan lagi sifat kemanusiaan kita yang Alhamdulillah serba mampu ini untuk membantu mereka yang kurang mampu.

Hati saya sangat tersentuh apabila kumpulan PPIP saya dihantar di sebuah rumah anak yatim muslim India untuk melaksanakan aktiviti bersama mereka. Sewaktu dalam perjalanan ke rumah tersebut, kamu melalui sebuah perkampungan yang cukup lain suasananya kalau hendak dibandingkan dengan kampong-kampung di Malaysia. Hati saya menjadi hiba. Saya tidak mampu untuk membantu mereka, selain daripada doa.

Oleh itu, dengan menyertai CAKNA, mungkin saya dapat melakukan lebih daripada itu. InsyaAllah.

Haaaa. Saya nak berkongsi cerita mengenai aktiviti CAKNA yang dijalankan kelmarin (27 Dis). Ahli CAKNA dan wakil-wakil setiap batch telah dihantar untuk berkhidmat ke sebuah perkampungan orang susah di Sagar Nagar. Nama program tersebut ialah “A day with poor”.

Perjalanan mengambil masa kurang daripada 30 minit. Sesampainya kami di tempat kejadian, mulut saya agak terlopong melihat perkampungan tersebut. Saya melihat ramai kanak-kanak mulai mengerumuni bas kami. Kami dinasihati supaya menjaga keselamatan diri dan barangan milik kami. Jantung saya mulai berdetak dengan pantas. Walaupun suhu pada ketika itu 17 darjah celcius, saya tetap berpeluh, kerana saya berasa cuak sedikit. Hahahah. Acah macam nak perang je kan? Maaf. Hehehe.

Ketika kami sudah turun dari bas, kanak-kanak tersebut sudah berebut-rebut menghulurkan tangan. ADUH! Sayu betul hati saya. Kami pun mula mengagihkan makanan dan minuman kepada kanak-kanak, wanita dan lelaki dewasa, dan tidak lupa juga kepada warga emas. Terharu sungguh saya melihat senyuman kesyukuran daripada wajah mereka. Mereka begitu gembira atas kunjungan kami.

Pada ketika itu, fikiran saya mulai melayang. Saya terkenangkan keluhan saya selama ini, tanpa memikirkan ada lagi orang yang lagi perit hidupnya berbanding saya. Astagfirullalazim.

Setelah makanan dan minuman habis diagihkan, kami mulai meronda-ronda kawasan penempatan mereka, kami juga mengambil masa yang terluang untuk ber’selfie’ dengan mereka. Alahai, seronok betul mereka, semua berpusu-pusu menuju ke lensa kamera. Comel sungguh. Gelak dan tawa mereka begitu berharga bagi saya.

Haaa, saya sempat dikejar anjing. Peh, apa lagi, terkeluar bakat pelari pecut saya haaaa jangan main-main, sepantas kilat tau. Ceh takdelah gurau je. Hahaha… Malu sungguh! Boleh pula anjing tu nak bermanja main kejar-kejar pula. Jatuh jantung saya. Hahaha… Makcik pakcik pun tergelakan saya. Aduhai, dah lama tidak dikejar anjing. Tidak mengapalah, sekali sekala katakan. Hahaha…

Setahu saya, perkampungan tersebut sudah hampir 50 tahun bertapak di situ. Lamanya… Dan penduduk di sana juga terdapat orang Islam. Terharunya, mereka masih menjaga institusi Islam dengan terbinanya sebuah surau. Dalam surau tersebut, ada Al-Quran, tafsir dalam bahasa Kanada, dan juga buku hadis. SubhanAllah.

Pengalaman tersebut merupakan pengalaman yang sangat berharga bagi saya. Sewaktu di Malaysia, saya tidak pernah berpeluang untuk menyertai aktiviti seperti ini.

InsyaAllah, CAKNA akan mengadakan aktiviti berfaedah seperti ini lagi dalam masa akan datang.

Rebutlah peluang yang ada!

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

Chillax, Cahaya Sakinah.