Benci jadi sayang

21 Jan 2020, majlis perkahwinan.

20 Jan 2020, 1601, termangu. Masih di ruang menunggu balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Keningau. Dindaku belum lagi menunjukkan bayang, bau minyak wanginya Forever Sexy jenama Victoria Secret itu belum singgah di deria ku. Sudah 3 penerbangan Bangalore-Keningau selamat mendarat sejak 8 pagi tadi. Hati ini tidak senang duduk menanti, rindu, risau, kecewa, bahagia semua bercampur baur. Pening aku memilih rasa. “Ah, silap aku juga tiada menanya apa nombor penerbangannya, pukul berapa tibanya”, getus ku di dalam hati. Cuma apa aku tahu dia akan tiba sehari sebelum majlis perkahwinan kami. Selebihnya aku sengaja tidak ambil tahu, mahukan kejutan, untuk aku dan juga untuk dia. Biarlah menanti, aku sudah biasa.

Aku mula berjalan ke skrin informasi ketibaan di tepi ruang menunggu ini, 30 minit lagi penerbangan terakhir dari Bangalore akan tiba.“Ini harapan terakhir ku dinda, andai kau tidak juga kulihat, maka aku perlu berprasangka”, hati kecilku berharap.

5 minit aku kaku berdiri di hadapan skrin ini, terlintas cadangan prasangka yang pertama. Apakah rakyat Malaysia bakal berkabung kali kedua untuk penerbangan berpendaftaran Malaysia yang hilang tanpa jejak. Pray for apa pula kali ini. Aku mula menyusun teori-teori penerbangan yang nanti akan aku tuliskan di feed Facebook dan timeline Twitter. Iluminati? Teori pengurangan penduduk dunia? Sambil itu ingatan ku teralih kepada mangsa-mangsa nahas kapal terbang yang melibatkan syarikat penerbangan milik Malaysia. Kasihan pada mereka. Mungkin sebab itu ayah melarang aku dan adik-adik untuk tidak menjadi pilot atau krew penerbangan. Arh, jauh sangat aku menerawang. Prasangka ini tahap kemustahilannya tinggi, tiada pula laporan nahas kapal terbang sejak pagi tadi. Aduh, bengap.

Ku rasakan kebas di kaki, lama sangat mimpi berdiri. Aku berjalan semula ke tempat duduk ku tadi, masih kosong. Syukur alhamdulillah. Sebaik aku duduk, deria ku tertarik kepada perbualan seorang ayah dan anaknya. “Ayah, pukul berapa mak akan sampai?” tanya si anak yang dari pengamatan ku umurnya baru menjejak sekolah rendah. “Sekejap lagi sayang, mak sudah selamat mendarat”, balas si ayah. “Seronoknya mak dah balik. Tapi ayah, kenapa mak pergi bercuti dengan rakan-rakan sekerjanya sahaja? Kenapa mak tak bawa adik dan ayah sekali?”, si anak mencetuskan konflik kecil. Terdiam si ayah, hanya tersenyum melihat anaknya kemudian mengalihkan pandangannya. Tinggal si anak menanti jawapan. “Itu trend sekarang dik”, aku menjawab. Tapi cuma di dalam hati, tidak tersebut dilidah nanti dikata menyelak kain orang.

Ku tamatkan perhatian ku di situ, kembali menerawang sementara menanti. Cadangan prasangka kedua, apa mungkin kau terlepas penerbangan. Terlewat bangun? Jalan sesak? Passport hilang? Jangan sahaja kerana terlewat bangun, malu apa yang akan keluarga kita tanggung, tertangguh kahwin hanya kerana terlewat bangun. Sebab itu ibu pernah pesan, “Along carilah isteri yang boleh bangun awal. Boleh solat subuh berjemaah dengan along, boleh buatkan sarapan untuk along, boleh uruskan anak-anak”. Betullah pesan ibu, baru tersedar.

Tersedar dengan lamunan itu, ku alihkan pandangan ke jam dinding Orlando di dinding terminal ini yang digembar-gemburkan di media sosial harganya mencecah RM 40 000 seunit. Peliknya aku, rakyat kita ini terlalu mahir mencari kesilapan-kesilapan yang tersembunyi. Apa mereka sudah tiada kerja lain untuk dilakukan atau memang itu kerja mereka. Oh, mungkin kerana cadangan 2 kerja, aku husnudzon. Yang menjadi perkiraan akhirnya cumalah masanya, bukan harga.

1625, sekejap lagi mungkin kapalmu akan mendarat. Tidak lama lagi rindu yang terbeban dapat ku lepaskan. Terlalu lama tidak bertemu.

Semalam dirumahmu banyak sungguh rungutan makcik-makcik kau dan aku.

“Kenapa pengantinnya tiba sehari sebelum majlis, apa tiada persediaan yang mahu dilakukan?”, itu makcik sulung aku.

“Kenapa majlisnya buat di masjid sahaja, kenapa bukan dihotel mewah berbintang 6 atau 7, kamu kan punya wang yang banyak?”, ini pula soalan mak su dinda.

“Kenapa tiada pelaminan, tiada majlis merenjiskah?”, yang ini makcik dua pupu belah ibu.

Jawapan ku mudah tapi agak kontroversi, ini perkahwinan yang kita landaskan pada syariat bukan pada adat. Adat itu bukan kewajipan, malah ada pula yang menyusahkan. Biarkan sahaja, ada yang tidak faham.

Ingatanku ku alihkan semula kepada namamu dinda. Kali ini, perancangan bahagia selepas majlis perkahwinan kita. Telefon bimbit di kocek seluar ku capai. Diselongkar peti masuk emel mencari kiriman daripada syarikat penerbangan Rayani Air. Jumpa, buka. Keningau-Kansai, 30 Januari 2020. Salah satu life goal yang selalu kau sebut, malah kau lekatkan di bilik mu di Bangalore. Akhirnya impian mu bakal tercapai sayang. Syukur sahaja aku ini sudah punya kerja dan kewangan yang stabil, kekadang aku risau memikirkan nasib lelaki-lelaki lain yang terpaksa bersusah untuk menjadikan impian-impian mengarut kekasih mereka jadi kenyataan. Surprise hadiah ulangtahun, ulangbulan. Hadiahnya mahu yang up-to-date, boleh dimegah-megahkan. Boleh dijadikan antara post sweet di Instagram. Huh, inilah akibatnya bila kita terlalu mengagung-agungkan hidup mereka yang kaya dengan harta. Bermimpi bukan diatas bantal yang sesuai.

1645, sekali lagi aku menyeluk kocek seluarku untuk mengambil dompet yang telah dihadiahkan oleh dindaku yang tercinta sempena harijadi aku April tahun lepas. Dompet kulit yang dibelinya di Mumbai. Pandai sungguh bakal isteriku memilih, pujiku di dalam hati. Ku selak dompetku, lalu terpampanglah gambar aku bersama dindaku 7 tahun yang lalu. Ya, sewaktu kami masih dibangku sekolah menengah. Aku tertawa kecil. Terimbau saat pertama kali berjumpa dengan si dia. Perkenalan kami bukanlah seperti perkenalan yang biasa. Pada mulanya, kami seakan anjing dan kucing. Pantang berjumpa, ada sahaja benda hendak menjadi bahan kelahi antara kami.

Aku masih ingat lagi, pertemuan pertama kami sewaktu di Kelab Debat. Tak sangka, baru dua minggu dia menjadi pelajar MRSM Kota Kinabalu, dia sudah melebarkan sayapnya ke dunia debat. “Impressive,” getusku di dalam hati. Rasya Aleeya, nama seindah pemiliknya. Namun, diriku bukanlah seorang pria yang mudah goyah dengan raut wajah, apa yang aku lihat ialah kecantikkan dalaman. Eh, macamlah “dalam” aku ni cantik sangat. Hmmm. Aku bermonolog sendirian.

“Rasya, sampai bila nak harapkan aku untuk cari kata kunci? Definisi secara konseptual pun kau masih terkial-kial? Kau ni, aku dah ajar kan? Bengap betullah. Hish!” Bentakku. Rasya cuma berdiam,  matanya kelihatan berkaca-kaca. Buat pertama kalinya dia tidak melawan balik kata-kata kerasku. Biasanya, ada saja ideanya untuk menjatuhkan hujahku, tapi kali ini dia hanya berdiam. Air mata mulai membasahi pipi gebunya. Arh! Hatiku menjadi sangat serba salah. Aku tidak menyangka akan sekasar ini. Rasya mengambil fail bercorak Hello Kittynya dan berlalu pergi meninggalkan ahli debat yang lain. Tegang. Aku meraup wajahku dengan penyesalan yang mendalam. Betullah kata orang tua-tua, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.

Pada malam itu aku tidak dapat melelapkan mata. Fikiranku tertumpu pada Rasya. Entah mengapa rasa bersalah ini tidak mahu lenyap. Buntu aku memikirkannya. TINGGG! Tiba-tiba otakku teringat akan tugasan laporan minit mensyuarat Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) yang aku serahkan kepada Rasya malam semalam. Aku meminta dia untuk menyiapkan tiga minit mesyuarat dan hantarkan kepada aku secepat yang mungkin. Ya, aku sebagai Ketua LDP, sengaja memilih Rasya untuk menjadi Setiausaha aku kerana aku ingin membulinya, Patutlah Rasya kelihatan tertekan tadi, barangkali stress dengan lambakan kerja dan ditambah pula dengan usikkan kasarku. Aduh! Apa yang aku telah lakukan. Hatiku seakan ingin menangis, rasa kesal yang teramat.

Walau raga kita terpisah jauh, namun hati kita selalu dekat…

Telefon bimbitku berdering dengan alunan lagu Aishiteru nyanyian Zivilia, eh Bonda is calling.

“Assalamualaikum ibu, kenapa ibu call Along?” soalku. Cuak.

“Hah waalaikumusalam. Along dekat mana ni? Kenapa tak balik lagi? Along tahu kan esok majlis Along dengan Sya. Korang berdua patutnya balik dulu. Bukan hendak merayau. Banyak nak kena buat ni.” Pehh, tinggi nafas ibu. Dengan hanya satu lafaz sahaja ibu menembak deria pendengaranku.

“Ibu, tenang okay? Along masih tunggu Sya kat airport ni. Tak sampai lagi, bukan salah Along. Ya Along tahu banyak kena buat. Ibu bagi Along sejam lagi okay? Bye ibu, jumpa kat rumah” Tet. Aku memutuskan talian. Tak sanggup aku mendengar leteran ibu buat masa ini, hatiku juga sedang gundah gulana memikirkan keberadaan dindaku. Aduhai sayang, dimanakah dirimu kekasih hatiku?

 

Aku membawa fikiranku kembali ke masa laluku.

“Rasya! Aku minta maaf!” jeritku sekuat hati. Arh, tidak kupedulikan pelajar lain yang memperhatikan gelagatku. Rasya terlihat sungguh terkesima dengan perlakuanku. Sungguh dia tidak menyangka aku sepolos itu untuk merayu kemaafannya. Aku gantungkan kad saiz A3 pada leherku dan melutut di hadapan kelas Rasya. Aku seperti orang kurang waras. Jatuh imejku sebagai Ketua LDP.

“Hafiz, kau dah kenapa? Dah, dah, bangun. Buat malulah” Rasya kelihatan sangat geram dengan tindakkanku.

“Weh Rasya maafkanlah aku. Aku tahu aku selalu sakitkan hati kau. Selalu susahkan kau, selalu buat kau marah. Aku… Aku…” Tergagap-gagap aku meluahkan kata hati. Arh! Secara tiba-tiba perempuan ini membuatku rasa gila. Tidak senang duduk aku dibuatnya. Oleh kerana itulah aku menjadi senekad ini. Bertindak kurang waras untuk penuhi kehendak hati.

“Okay aku maafkan kau. Dasar Hafiz gemok! Tanggalkan kad ni sekarang!” Dengan hanya sekelip mata hatiku menjadi kembali tenang. Rasya sudah memaafkanku. Dia sudah kembali menjadi perempuan mulut puaka dengan mengejekku gemuk. Ish! Tapi tidak mengapalah, asalkan kami boleh kembali seperti dahulu, aku gembira. Melihat telatah dia menahan marah adalah kesukaanku. Entah, dia comel apabila sebegitu. Eh?

Grrrr… Perutku berkeroncong, meronta-ronta minta diisi. Aku lupa. Rupanya aku belum pun menjamah sesuap nasi sejak tengahari tadi. Dinda punya pasal, kanda sampai terlupa hendak makan. Aku meninggalkan tempat dudukku dan mencorak langkah ke McDonald di hadapanku. Terlihat sepasang pasangan kekasih yang sedang selfie berdua. Mereka seakan berada di dalam dunia mereka sendiri. Entah kahwin entah tidak, aku mulai berprasangka. Astagfirullalalzim, adakah aku terlalu bosan sehinggakan aku terlalu memerhatikan orang sekelilingku? Siapalah aku untuk menilai orang lain. Diriku juga tidak sempurna.

One double cheeseburger combo, please? Thank you” makanan kesukaan kami berdua menjadi pilihanku. Alahai, rindu sangatlah ni.

Istimewanya Rasya, sehinggakan abah dan ibuku sangat menyenangi dia dari hari pertama berjumpa dengannya pada hari raya pertama 7 tahun dahulu. Buat pertama kalinya aku membawa keluargaku ke rumah Rasya di Keningau, untuk memperkenalkan keluarga kami berdua. Sikap santun Rasya terhadap orang tua sangat menyentuh hati ayah dan ibuku. Dan, tidak kusangka pula yang diriku juga mendapat pujian daripada papa dan mama Rasya.

Suka dan duka kita lalui bersama. Meskipun di permulaan episod kisah perkenalan kita kurang baik, namun keindahan itu datang juga akhirnya. Diduga dengan kehadiran orang ketiga di pihak aku, hampir memisahkan kami berdua suatu ketika dahulu. Aku mengaku aku bersalah, aku terhanyut dengan kisah cinta laluku sebelum kehadiran Rasya. Nasib baik Rasya memaafkan kekhilafanku, walaupun sebenarnya aku tidak layak untuk dimaafkan. Murni sungguh dirimu untukku dinda. Benarlah kata orang, “dua jiwa yang bersatu tak semuda itu untuk dileraikan”. Aku tahu, dindaku Rasya sangat mencintaiku. Begitu juga aku, mencintainya sedalam yang mampu. Tersenyum aku membayangkan hari esok, saat dia sudah sah menjadi isteriku. InsyaAllah.

“Kanda”, tiba-tiba ada sapaan di telinga ku.

Ku toleh ke kanan, “Eh dinda, selamat pulang”, terus aku berdiri melihat kehadiranmu sambil tenang di hati melihat keberadaanmu. Satu bagasi pink di tangan kanan, beg galas komputer riba di bahu dan satu beg tangan di lengan kiri. Terserlah gaya siswimu. Siswi tahun akhir jurusan perubatan USM-KLE.

“Kenapa kanda tak tunggu dinda di depan itu? Kenapa duduk termenung di sini? Menungkan apa tadi? Dinda?”, aduh baru sesaat dua sudah empat soalan. Sama seperti ibu.

“Oh maaf dinda, kanda terlalu banyak termenung beberapa hari ini, tadi itu fikirkan persediaan kahwin kita dan juga mengenangkan kisah pahit manis kita dahulu kala. Ialah, selepas inikan 24 jam kena termenungkan dinda”, menjawab soalan sambil memujuk semula hati dia.

“Ayuh kita ke kereta agar dinda boleh cepat berehat dirumah, jauh perjalanan tadi kan.”, tambah aku lagi. Dia tersenyum, mungkin terlalu penat tapi masih menunjukkan keriangan di wajahnya. Senyuman yang sudah lama tidak kulihat secara live. Rinduku terubat. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku peluk dindaku ini. Namun, iman masih bertapak di hatiku. Akal warasku masih boleh berfungsi dengan baik.

Jauh perjalanan, fikirkan soal pelajarannya tambah lagi perihal kahwin. Sebab itulah aku cuba sebaik aku untuk kurangkan bebannya dalam memikirkan soal perkahwinan ini. Kasihan dindaku, pasti dia penat. Dari Belgaum ke Bangalore sahaja sudah 10 jam perjalanan menaiki bas. Dari Bangalore ke Keningau pula mengambil masa 5 jam perjalanan. Biarlah dia beristirahat.

Sekaligus itu, tamatlah semua lamunan ku tadi. Tinggal sahaja, bersedia untuk lafaz nikah esok. “Aku terima nikahnya …..”

Betullah kata ibu, jangan benci-membenci, lama-lama menjadi sayang.

 

#CerpenCahaya

Leave a comment