Program Pembangunan Pelajar (MARA)

logo-mara-copy-244x300

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Apa khabar? Saya harap para pembaca sekalian sihat sejahtera. Cewah. Aduhai, tinggal 15 hari sahaja kami sebelum kami berangkat ke India. Kini, semuanya sedang sibuk dan kalut dengan persiapan masing-masing. Pening juga kepala ni hehe.

Baiklah, atas permintaan seseorang yang amat saya hormati, maka saya coretkan blog saya pada hari ini dengan kisah-kisah sepanjang 3 hari berada di Program Pembangunan Pelajar (PPP) anjuran MARA. Kami sayang MARA. Hehe.

Kem PPP tersebut diadakan di Lembah Azwen Resort, Hulu Langat, Selangor. Agak payah jugalah hendak mencari jikalau memang tidak biasa dengan kawasan tersebut. Mujur kini kita dilengkapi dengan telefon pintar, justeru bolehlah menggunakan aplikasi Waze ataupun Google Map sebagai panduan.

Aduhai, agak kelam kebut jugalah kami semua sebelum kem PPP ini kerana diberitahu dua hari sebelum kem dijalankan. Mahunya kami semua terkejar-kejar mencari tiket kapal terbang dan bas. Namun begitu, semangat kami tidak pernah terhapus. Kami faham, ini semua prosedur yang perlu kami tempuhi sebagai pelajar di bawah tajaan MARA ke luar negara. Prosedur tetap prosedur.

Kem PPP ini sangat santai. Tidak ada benda-benda yang klise. Namun, yang tipikal tu tetap ada, hehe. Biasalah, namanya juga kem. Abang dan kakak fasilitator juga sangat bersahaja dalam menyampaikan mesej penting buat kami semua. Yang paling seronok sekali, kami mendapat teman baru daripada program UniKL MFI dan Intec. Mereka juga akan ke luar negara tidak lama lagi.

Antara memori indah sepanjang kem tersebut ialah, apabila kami diberikan tugasan untuk menghabiskan semua checkpoint dalam aktiviti Treasure Hunt. Yang istimewanya, aktiviti tersebut dijalankan pada waktu tengah malam. Berkeliaranlah kami sambil berlari-lari di kawasan kem untuk mencari klu yang telah disembunyikan. Aduhai, boleh tahan juga penat. Haha. Menarik sungguh aktiviti tersebut, dapat melepaskan stress dan juga mengeratkan lagi silaturahim yang baru sahaja terbentuk antara kami.

Selain itu, tidak lupa juga aktiviti sepanjang LDK dijalankan, terdapat banyak input penting yang kami harus sematkan ke dalam jiwa kami agar tidak lupa daratan sewaktu berpijak di tanah yang asing. Ceh…

Bukan itu sahaja, permainan osom yang diadakan juga sangat menarik! Hehe, kami kumpulan HAVOC Berjaya merangkul tempat pertama. Hebat kan? HAHAHA. Ceh takdelah. Hehe.

Di samping itu, aktiviti yang paling menarik dan membawa seribu satu mesej, iaitu aktiviti Si Buta. Pada ketika itu, kami diminta untuk melantik ketua daripada golongan yang pendiam. Setelah itu, kami diminta untuk menutup mata menggunakan penutup mata. Berjalan mengelilingi kawasan kem dan melaksanakan aktiviti di setiap checkpoint. Barulah kami tahu, yang kami patut bersyukur dikurniakan deria yang sempurna. Alhamdulillah.

Akhir sekali, aktiviti yang amat memerlukan strategi yang bijak, kepimpinan yang mantap dan kerjasama yang kuat antara semua kumpulan lalu membentuk sebuah keluarga. Kami semua dikehendaki untuk mendirikan sebuah menara yang stabil dan tinggi. Alhamdulillah, setelah berhempas pulas, kami akhirnya berjaya mendirikan sebuah menara hasil daripada kerjasama kami.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak MARA atas anjuran yang penuh bermakna ini. Terima kasih juga kepada keluarga saya yang sentiasa menyokong saya. Terima kasih kepada Abang Shukri, Abang Razi, Abang Shafik, Abang Akmal, Abang Zam dan Kak Nisha yang banyak membantu kami sepanjang kem ini. Mereka merupakan fasi yang terbaik! Terima kasih juga buat Pak Ungku Hashim, pemilik resort tersebut kerana sangat pemurah kepada kami. Beliau telah membelanja penginapan saya dan teman saya untuk satu malam kerana kami sampai awal sehari sebelum kem bermula. Dan akhir sekali, terima kasih kepada semua peserta Kem PPP sesi 14-16 Ogos 2015! Havoc, SOP, Hercules, Pioneers, Fantastic4. Semoga ukhuwah kita tetap erat walaupun terpisah benua. Semoga berjaya dalam mencapai cita-cita. Amin.

MARA PERKASA!

IMG_2163 IMG_2166 IMG_2177 IMG_2178 IMG_2184 IMG_2241 Chillax, Cahaya Sakinah.

Leave a comment